KUCHING – Golongan belia merupakan harapan masa depan bangsa yang harus dipersiapkan daripada akar umbi. Golongan belia diajak untuk menjadi pemimpin melalui program SAMAsedia 2024 yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan peluang pembelajaran untuk mengasah kemahiran kepimpinan mereka.
Program ini menyasarkan seramai 40 orang belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro termasuk bakal pemimpin peringkat kampung, daerah dan bahagian.
Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Susoul Management, Pusat Khidmat Masyarakat N29 Beting Maro dan telah menganjurkan program SAMAsedia 2024 siri ke empat di Masjid Al- Amin, Beladin di sini pada 29 November 2024 sehingga 1 Disember 2024.
Dengan latar belakang yang kukuh, program ini merangkumi pelbagai aktiviti berkumpulan yang santai dan menghiburkan.
SAMAsedia yang juga dikenali sebagai Kem Aspirasi Warisan Anak Negeri bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan belia.
Peserta didedahkan kepada aktiviti yang memupuk semangat kerjasama dan setiakawan sambil mengumpul maklumat untuk penambahbaikan di masa hadapan.
Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan pemimpin yang peka dan bertanggungjawab dalam membangunkan masyarakat selaras dengan aspirasi negeri Sarawak.
Hadir sama adalah Encik Sulhie Salleh, Penyelaras Program SAMAsedia 2024, merangkap Biro Politik AKYBMS, Encik Zakaria Mos, Pengerusi Masjid Al – Amin , Kakitangan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Barisan Fasilitator Susoul Management, dan Pihak Media.