⚜️Program Pertukaran Pelajar dari Kementerian Pendidikan Singapura⚜️

Samarahan, 25 November 2024 – Program Pertukaran Pelajar anjuran Kementerian Pendidikan Singapura hari ini menyaksikan pembentangan sesi ketiga yang bertajuk Warisan dan Jati Diri Melayu Sarawak yang disampaikan oleh YBhg. Datu Dr. Sanib Said, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak. Program yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini bertujuan untuk memperkenalkan serta mendalami aspek warisan budaya dan jati diri masyarakat Melayu Sarawak, terutama dalam konteks pemeliharaan dan pengukuhan identiti budaya tempatan.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Datu Dr. Sanib Said mengupas dengan mendalam mengenai usaha-usaha Yayasan Budaya Melayu Sarawak dalam memartabatkan budaya Melayu, serta kepentingan pemeliharaan warisan budaya dalam kalangan generasi muda. Program ini turut dihadiri oleh pelajar-pelajar dari Singapura, pensyarah UNIMAS, dan wakil-wakil daripada pelbagai agensi yang berkaitan.
Antara penceramah yang menyampaikan ceramah pada hari ini ialah YBrs. Dr. Shantrol Abdullah dan YBrs. Dr. Dillah bin Tuah. Selain itu, para pelajar juga mengadakan lawatan ke Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar. Aktiviti hari ini diakhiri dengan bengkel budaya yang bertajuk Seni Menganyam, yang dikendalikan oleh Puan Buning Kiding sebagai fasilitator.

Kongsi berita ini