KUCHING, 22 April 2024 — Unit Penyelidikan dan Media Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) bersama pelajar latihan industri telah mengadakan lawatan ke Muzium Brooke Dockyard Industrial Heritage sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pengetahuan serta pendedahan terhadap sejarah dan warisan industri di Sarawak. Lawatan ini turut bertujuan meninjau pendekatan pemuliharaan dan interpretasi warisan industri yang dilaksanakan oleh pihak muzium.
Sepanjang lawatan, para peserta berpeluang menelusuri perkembangan sejarah industri perkapalan di Sarawak serta memahami kepentingan pemeliharaan tapak warisan sebagai sumber pendidikan dan rujukan generasi akan datang. Lawatan tersebut turut dikurasi oleh Cik Malissa binti Abdul Kadir dan Encik Haizul daripada Jabatan Muzium Sarawak (JMS), yang memberikan penerangan terperinci sepanjang sesi lawatan.
AKYBMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan terhadap usaha Jabatan Muzium Sarawak dalam memelihara, memulihara dan mempamerkan warisan sejarah negeri secara profesional dan berterusan. Inisiatif seperti ini dilihat amat penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap nilai warisan serta memperkasa peranan institusi muzium sebagai pusat ilmu dan penyelidikan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan AKYBMS dalam mendukung usaha pemeliharaan warisan melalui pendekatan penyelidikan, dokumentasi dan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan.





