21 Disember 2023 (Sabtu): Kolokium Novel Melayu Pertama Di Dunia: Hikayat Panglima Nikosa merupakan program tahunan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah diadakan pada 21 Disember 2024 (Sabtu) di The Waterfront Hotel, Kuching. Pada kali ini, program ini dijalankan dengan kerjasama Institut Pengajian Borneo dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Kolokium ini adalah untuk memperingati Novel Melayu pertama di dunia yang telah dikarang oleh anak Melayu Sarawak iaitu Ahmad Shawal pada tahun 1876 yang berjudul “Hikayat Panglima Nikosa, Mendapat Kesusahan Ketika Perang Sebelum Mendapat Kesenangan”.
Hikayat Panglima Nikosa merupakan milik ketamadunan bangsa Melayu Sarawak secara kolektif dan menjadi cerminan ketamadunan bangsa yang merangkumi falsafah pemikiran, keintelektualan serta kearifan lokal masyarakat tempatan.
AKYBMS bercadang untuk mencalonkan Hikayat Panglima Nikosa sebagai salah satu warisan dokumentasi dalam program UNESCO Memory of the World. Langkah ini bertujuan untuk mengiktiraf nilai sejarah, budaya dan sastera yang terkandung dalam hikayat tersebut, di samping memastikan warisan ini diabadikan dan dihargai di peringkat antarabangsa sebagai khazanah dunia yang berharga.
Antara pemakalah pada hari ini adalah YBhg. Datu Dr. Sanib bin Haji Said, Pengurus Besar AKYBMS, yang mengulas tajuk Ahmad Shawal Abdul Hamid, Hikayat Panglima Nikosa (1876): Mengimbas Kembali 10 Tahun Perjuangan Memartabatkan Warisan Melayu Sarawak. Selain itu, Dr. Sharifah Sophia binti Wan Ahmad, Timbalan Pengarah Institute Borneo Studies, UNIMAS, membincangkan Konsep ‘Negeri’ dalam Hikayat Panglima Nikosa. Encik Azuan bin Jemat, Pengurus Lembaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, Majlis Islam Sarawak, pula memberikan Penelitian Mengenai Kewujudan Adat dan Peraturan dalam Hikayat Panglima Nikosa: Satu Perbahasan Awal Intertekstualiti Teks Manuskrip Melayu. Dr. Haji Santrol bin Abdullah, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, menyampaikan tajuk Hikayat Panglima Nikosa: Peneguhan Akhlak dan Kepatuhan Terhadap Tatanan Ilahi. Dr. Zuraini binti Seruji, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, membentangkan Pengkaedahan Alamiah dalam Hikayat Panglima Nikosa: Simbolisme Alam dan Hubungan dengan Kehidupan Sejagat.
Turut hadir Afham Jauhari bin Aldi (Pengarah Arkib Negara Malaysia, Negeri Sarawak), Encik Abang Haliman bin Abang Julai (Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sarawak), Mohamed Faizal Shah bin Haji Ali, Pengarah Zon Sarawak, Jabatan Komunikasi Komuniti Zon Sarawak, Kementerian Komunikasi serta Dr. Wan Ali Tuanku Mashi (Yang di-Pertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak).
Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis ini. Kehadiran anda semua, sama ada sebagai penyumbang, penyokong, atau pendengar setia, telah menjadi pemangkin kepada kejayaan program ini. Terima kasih.