KUCHING, 8 Disember 2025 – Festival Sarawakiana 2025 anjuran Pustaka Negeri Sarawak diteruskan dengan penganjuran Siri Ceramah Sarawakiana yang membawakan tajuk “Ilmu Hitam dan Sihir di Kalangan Masyarakat Melayu Sarawak”. Program tersebut berlangsung di Bilik Seminar, Pustaka Negeri Sarawak, dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para peserta.
Ceramah berkenaan telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Zainuri bin Zainal Abidin, Nazir Kanan dari Jemaah Nazir Negeri Sarawak, yang menghuraikan perspektif sejarah, budaya dan kefahaman masyarakat mengenai amalan ilmu hitam serta implikasinya dalam konteks sosial dan keagamaan.
Turut hadir mewakili Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) ialah Cik Zafirah binti Othman dan Encik Norazam bin Azni Shah dari Unit Penyelidikan dan Media, yang menghadiri seminar tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan ilmu dan kerjasama strategik dalam bidang warisan dan dokumentasi budaya.





