KUCHING, 20 Januari 2026 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) menerima kunjungan hormat daripada Unit Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah diadakan di Pejabat Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak sebagai usaha memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang penerbitan dan pemerkasaan bahasa. Kunjungan berkenaan melibatkan penyertaan Encik Shahril Rizal Md. Modar Sahib, Puan Tengku Fauziah binti Ku Mat, Puan Siti Maizatul Rozihani Ikhsan, Encik Ja’afar Hamdan dan Encik Chiew Serit.
Kunjungan hormat tersebut telah disambut mesra oleh YBhg. Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, yang menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak DBP mengadakan lawatan berkenaan serta menekankan kepentingan kerjasama strategik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkaya khazanah penerbitan berkaitan warisan budaya Melayu Sarawak.
Kakitangan yang turut hadir ialah Cik Zafirah binti Othman, Ketua Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS. Kunjungan ini turut membuka ruang perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai potensi kolaborasi penerbitan serta inisiatif pendokumentasian bahan ilmiah dan budaya tempatan untuk manfaat bersama.





