KUCHING, 19 Okt 2025 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) melalui Unit Penyelidikan dan Media telah bekerjasama dengan Jabatan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak menganjurkan Pameran dan Kuiz Sejarah Negeri Santubong selama dua hari pada 18 dan 19 Oktober 2025 di Dataran Astaka Lagenda, Kampung Santubong, bersempena Program Santubong Day 2025.
Program ini bertujuan memperkenalkan sejarah, arkeologi dan warisan budaya Santubong kepada masyarakat umum, di samping memupuk minat generasi muda terhadap kepentingan pemeliharaan warisan negeri.
Pelbagai bahan pameran seperti dokumen arkib, foto lama serta maklumat sejarah Santubong dipersembahkan bagi memberi gambaran menyeluruh tentang keunikan kawasan bersejarah tersebut. Kakitangan Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS turut memainkan peranan penting dalam penyediaan bahan pameran, reka bentuk visual serta penganjuran kuiz interaktif yang berjaya menarik minat ramai pengunjung.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen AKYBMS dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi budaya bagi memastikan warisan sejarah negeri terus dihargai dan dilestarikan untuk generasi akan datang.





