⚜️ Program SAMAsiswa Melayu Sarawak 2.0 Siri 1 2025⚜️

22 November 2025 – Program SAMAsiswa Melayu Sarawak 2.0 Siri 1/2025 telah berlangsung pada 22 dan 23 November 2025 di Kem Belia Pueh, Sematan dengan penyertaan mahasiswa dan mahasiswi Melayu Sarawak dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Susoul Team Management ini diadakan selama dua hari sebagai kesinambungan usaha memperkasa modal insan Melayu Sarawak melalui pembangunan kepimpinan, jati diri dan sahsiah selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Melayu Sarawak 2035.
Berkonsepkan latihan lapangan, pengukuhan karakter dan penghayatan nilai kebudayaan, program ini memberi pendedahan kepada elemen kepimpinan, komunikasi berkesan, kecergasan minda serta peningkatan kualiti insaniah, sekali gus memupuk semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.
Majlis Penangguhan Program SAMAsiswa Melayu Sarawak 2.0 Siri 1/2025 telah disempurnakan oleh Pengurus Besar AKYBMS, YBhg. Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said bersama YBrs. Dr. Dilah bin Tuah, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, yang turut menyampaikan penghargaan atas komitmen peserta sepanjang program.
Antara kakitangan AKYBMS yang terlibat dalam pelaksanaan dan penyelarasan program ini ialah Encik Wan Mohd Irfan bin Wan Zamhari selaku Ketua Fasilitator, Encik Amirul Rashid bin Abdullah, Puan Iszaliana binti Majelan @ Mazlan dan Cik Noralla binti Hamdan.

Kongsi berita ini