⚜️ Persidangan Kebangsaan: Hikayat Panglima Nikosa – “Novel Melayu Pertama Diketahui Dunia” ⚜️

Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Institut Pengajian Borneo, serta rakan strategik Pustaka Negeri Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka, berbesar hati menganjurkan Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa di Kuala Lumpur.
Persidangan ini turut diserikan dengan kehadiran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Sri Mohd Naroden bin Haji Majais selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), menegaskan bahawa kerjasama sedemikian wajar melibatkan institusi penyelidikan, badan penerbitan serta pelbagai pihak berkaitan bagi memastikan khazanah kesusasteraan Melayu Sarawak terus dipelihara.
Persidangan ini berjaya mengangkat sebuah teks klasik penting dari Sarawak ke peringkat nasional, sekali gus menghimpunkan para sarjana dari pelbagai bidang untuk meneroka warisan intelektual Nusantara. UNIMAS terus mengorak langkah melalui penubuhan pusat arkeologi dan warisan, di samping memperkukuh penyelidikan berkaitan sejarah dan identiti masyarakat Sarawak dan Borneo.
Semoga kolaborasi strategik ini terus memacu pembangunan ilmu, memperkayakan wacana budaya dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Kongsi berita ini