⚜️ PENGALAMAN MENJALANI LATIHAN INDUSTRI ⚜️

Ibrahim Erfanshah bin Badroon, ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan)
Selama menjalani latihan industri selama tiga bulan di Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), saya telah mempelajari banyak perkara yang memberi impak besar terhadap kemahiran dan pengetahuan saya. Pada hari pertama, saya disambut mesra oleh kakitangan yayasan dan diberikan taklimat mengenai struktur organisasi, misi, dan visi yayasan. Saya juga diberi peluang untuk bertemu dengan Datu Dr. Sanib bin Haji Said, pengurus besar AKYBMS.

Pada minggu pertama saya bertanggungjawab membantu dalam pengurusan fail, dokumen, dan surat-menyurat. Saya belajar betapa pentingnya ketelitian dan organisasi dalam memastikan setiap dokumen disimpan dengan baik dan mudah diakses. Pengalaman ini mengajar saya tentang pentingnya sistem pengurusan fail yang efisien dalam mana-mana organisasi.
Saya juga ditugaskan untuk menyunting video larian eksplorasi. Hal ini menambahkan lagi pengetahuan yang boleh dikaitkan dengan bidang saya. Tidak lupa juga saya ditugaskan untuk menulis skrip Hikayat Panglima Nikosa.

Saya juga berpeluang untuk melawat tapak pembinaan Wisma Melayu yang merupakan tanda mercu baharu di Sarawak. Struktur bangunan Wisma Melayu menggambarkan sebuah tengkolok yang merupakan simbolik kepada orang Melayu. Juga saya ditugaskan untuk membuat poster bagi program AKYBMS di Lawas.
Secara keseluruhannya, pengalaman menjalani latihan industri di Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak adalah sangat bermakna dan memberi kesan positif kepada perkembangan profesional saya.

Saya bukan sahaja memperoleh pengetahuan yang mendalam mengenai warisan budaya Melayu Sarawak, tetapi juga mengasah kemahiran praktikal yang akan menjadi aset berharga dalam kerjaya masa depan saya. Saya amat bersyukur atas peluang ini dan berharap dapat terus menyumbang kepada pemeliharaan dan pengembangan budaya Melayu Sarawak di masa hadapan.

Kongsi berita ini