KUCHING, 21 Januari 2026 – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) telah menerima kunjungan hormat daripada Universiti UCSI yang berlangsung di Pejabat Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak. Kunjungan ini bertujuan mendapatkan rujukan serta maklumat berkaitan sejarah dan warisan makanan tradisional Melayu Sarawak sebagai usaha pemeliharaan dan pendokumentasian warisan budaya tempatan.
Kunjungan tersebut disertai oleh Profesor Madya Christopher Wan Sageng, Encik Muhammad Fikri bin Umadi, Ketua Jabatan Hospitaliti dan Seni Kulinari, serta Puan Nur Shaheera Fasha binti Arisfadillah, pensyarah Universiti UCSI.
Kunjungan hormat ini telah membuka ruang perbincangan dua hala yang membina berkaitan skop kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendokumentasian serta pembangunan kandungan ilmiah berhubung makanan tradisional Melayu Sarawak. Usaha ini selaras dengan aspirasi bersama untuk memperkasa warisan budaya melalui pendekatan akademik dan penyelidikan yang berstruktur serta berteraskan ilmu.
Unit Penyelidikan dan Media AKYBMS turut terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan tersebut bagi menyokong perancangan serta pelaksanaan kerjasama strategik yang dicadangkan pada masa hadapan





