Alhamdulillah, Majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 2026 telah berlangsung dengan meriah pada 15 April 2026 di perkarangan Pejabat Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS). Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar AKYBMS, Yang Berbahagia Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, yang turut memperkenalkan sebuah lagu ciptaan beliau berjudul Cinta Nota Kaki.
Majlis ini turut dihadiri oleh tetamu khas, iaitu mantan Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak (JKKN) merangkap aktivis teater Sarawak, Encik Ismail bin Hamdan, serta Dr. Kamil Salem, Dr. Dillah Tuah, Tuan Haji Ts. Syed Hossin bin Haji Wan Hamit selaku Yang Dipertua IGMS, Encik Azuan bin Jemat selaku Pengurus Besar Lembaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, serta para tetamu jemputan lain yang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
Suasana majlis bertambah meriah dengan pelbagai pengisian menarik, termasuk cabutan bertuah dan persembahan nyanyian daripada para tetamu yang hadir, sekali gus menyemarakkan lagi semangat Aidilfitri dalam kalangan warga AKYBMS dan jemputan.
Pada perancangan awal, majlis ini dijadualkan untuk diadakan di Wisma Melayu Sarawak. Namun demikian, atas sebab-sebab tertentu, penganjuran tersebut tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang. Sehubungan itu, majlis telah diadakan secara sederhana di perkarangan Pejabat AKYBMS, Jalan Rodway, tanpa menjejaskan kemeriahan sambutan yang berlangsung.





