Busana

Pasangan Melayu Sarawak, lelaki akan berbaju Melayu Cekak Musang dan bersamping songket. Wanita berbaju Kurung Teluk Belanga, kepala dihiasi selayah diserikan selempang sarung di bahu. Wanita Melayu Sarawak mengenakan Baju Kurung broked, sarung songket bunga tabur, selayah kerengkam dan selempang songket.

Baju Melayu Cekak Musang
Baju Kurung Teluk Belanga

Persalinan Gajah Oleng

Jah Olen / Raja Olen / Gajah Oleng sesuai dengan nama yang diberi pada pakaian adat untuk persandingan kaum Melayu di Sarawak khasnya di Kuching, Samarahan dan juga bahagian Sri Aman, Sarawak. Dari perhiasan kepala yang mempunyai Kepih dahi, Maskota (Mahkota), Sisir, Tajuk, Cucuk Sanggul berjurei begitu gah sekali apabila dipasang di kepala pengantin wanita. Manakala pada baju ini dihiasi dengan hiasan bunga-bunga yang bertabur dipanggil kerepek. Kain nya pula menggunakan kain songket yang dipanggil kain Brunei yang amat terkenal sekali dikalangan masyarakat Melayu Sarawak.

Antara perhiasan lain yang digunakan juga untuk baju ini ialah Tudung Keringkam, Gelang Aluk, Geroncong Kaki, Tali Pinggang berkepala besar (pending) emas, Anting-anting, Rantei Paon (Rantai Duit Syiling). Walau bagaimanapun, perhiasan ini berbeza perhiasan nya bergantung kepada juru andam atau tukang hias. Kebanyakan perhiasan Jah Olen ini diwarisi oleh keturunan tukang hias sejak turun-temurun.

Datar Serinding Awan Raja Datu Gudam

Dikenali dengan beberapa istilah iaitu Tanjak, Tengkolok, atau destar merupakan salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan Istana, Kepahlawanan dan dipakai semasa acara adat istiaday bangsa Melayu. Antara bahagian penting yang biasa dipadankan dengan destar iaitu bengkung, sampan dan baju Melayu berserta keris selit. Pada asasnya zaman dahulu destar dianggap mahkota dikepala dan melambangkan taraf dan status seseorang yang memakainya.

Sekali bernama destar, keduanya bernama tanjak, ketiganya bergelar tengkolok, yang di ujung kepala, dipakai berpatut-patut, yang beradat berlembaga, yang beradat berketurunan, yang dijaga dipelihara, yang bertempat dan bertepatan, yang ada asal-usulnya

Datar Serinding Awan Raja Datu Gudam merupakan warisan leluhur Negeri Melayu Saribas yang diperintah oleh berketurunan raja-raja Melayu. Antara leluhur yang mewariskan kerajaan Melayu Saribus adalah seperti Temenggong Kadir yang berdarah keturunan pembesar raja-raja Melayu Berunai dan Abang Gudam merupakan keturunan raja dari Minangkabau Sumatera.

Datar Serinding Awan Raja Datu Gudam dipakaikan oleh Abang Gudam semasa dinobatkan sebagai raja Melayu Saribas yang kedua menggantikan Temenggong Kadir. Destar ini mempunyai beberapa ciri yang tersendiri disebabkan taraf dan status pemakaian seorang raja. Bertepatan dengan pepatah melayu yang menyebut dalam Hikayat Malim Deman,

Berkerawang di pangkalnya, dihujung subhanaallah, tengkolok kampuh pelangi, bukan pelangi zaman ini, tiap sudut ada hikmat tiap sudut ada azimat.

Mengikat datar serinding awan
Buatan Puteri Seri Lamindan
Senggang ke kanan membari rawan
Parasnya Majlis Muda bangsawa
n

(Syair Tarsilah Catera Abang Gudam Temenggong Kadir Negeri Melayu Saribas, 81:647, hlm, 134)

Datar Serinding Awan Raja Datu Gudam.