JEJAK WARISAN MELAYU SARAWAK: ⭐Zikir Al-Burdah ⭐



Zikir Al-Burdah merupakan persembahan qasidah yang ditulis oleh penyair Sufi Busiri (608H – 696H): melalui tradisi kesusasteraan Arab. Ia merupakan lantunan zikir yang memuji keperibadian Nabi Muhammad SAW, dan permohonan keampunan hamba kepada Allah SWT Ia dibawa oleh seorang pendakwah Sheikh Haji Abd Karim dari Semenanjung Tanah Arab.

Beliau telah bergiat dalam menyebarkan ajaran agama Islam di Sambas, Pontianak, Indonesia. Melalui dakwah, beliau turut mengajar seni Zikir Burdah kepada penduduk setempat. Pada mulanya, Zikir Burdah hanya dipersembahkan di surau ketika menunggu masuknya waktu solat Isyak, iaitu antara ruang masa selepas solat Maghrib dan sebelum masuknya waktu solat Isyak. Setelah beberapa lama kemudian, amalan Zikir ini telah mendapat pandangan jemaah surau untuk dijadikan sebuah persembahan dan aktiviti harian penduduk setempat.

Salah seorang daripada anak murid pendakwah tersebut ialah bernama Sheikh Haji Abdul Rahman yang juga merupakan orang yang bertanggungjawab meneruskan amalan Zikir Burdah ini. Amalan kegiatan Zikir Burdah ini telah diturunkan kepada Tuan Haji Mohd Rais yang juga berasal dari Sambas, Pontianak, Indonesia.

Ilmu Zikir Burdah ini tidak putus di situ sahaja, perjuangan untuk meneruskan aktiviti Zikir Burdah ini diturunkan kepada anak murid Tuan Haji Mohd Rais iaitu Tuan Haji Abd. Rahman. Menurut Pengerusi Persatuan Sinar Budaya melalui temubual bersama beliau itu, Tuan Haji Abd. Rahman telah melatih dan mendidik budaya Zikir Burdah ini kepada anak beliau iaitu Tuan Haji Abd. Karim bin Haji Abd. Rahman. Tuan Haji Abd. Karim bukan sahaja mengembangkan seni Zikir Burdah ini, malahan beliau juga menyebarkan ilmu pengetahuan agama Islam kepada penduduk Sambas pada ketika itu.

Tuan Haji Abd. Karim bin Haji Abd. Rahman kemudiannya berhijrah ke Sarawak setelah ditawarkan bekerja sebagai guru agama Islam di Kuching, Sarawak. Pada tahun 1918, Tuan Haji Abd. Karim bin Haji Abd. Rahman mula mengembangkan ilmu agama melalui ajaran Zikir Burdah kepada penduduk Muara Tebas, Kuching.

Tidak lama kemudian, beliau berhijrah ke Sri Aman atau nama terdahulu bahagian itu ialah Simanggang. Beliau turut bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga dengan gadis yang berasal dari Simanggang. Tuan Haji Abd. Karim bin Haji Abd. Rahman telah dianggap sah sebagai warga Sarawak kerana perkahwinan beliau telah dilangsungkan sebelum penaklukan Jepun di Sarawak. Beliau turut dilantik sebagai ketua kampung di Kampung Lemanak, Simanggang (Kampung Hulu, Sri Aman). Pasangan tersebut telah dikurniakan cahaya mata hasil daripada perkahwinan mereka itu. Sifat keIslaman yang tinggi berserta minat terhadap seni, amalan Zikir Burdah diperturunkan kepada anak mereka yang bernama Tuan Haji Abdul Rahim.

Zikir Al-Burdah merupakan kesenian warisan yang lahir dari tradisi turun-temurun dan masih kekal hingga kini. Justeru itu, marilah kita bersama-sama memartabatkan seni persembahan Zikir Burdah ini agar dipelihara dan diperkembangkan.

Ihsan: Z.Hanip, S.Sarkawi, Mawar Suhaila dan Noria Tugang

#JKKN #UNIMAS #DiariKurator #warisanMelayuSarawak #Saturumpun #penyelidikan #sholawatburdah #jabatanmuziumsarawak

Kongsi berita ini