JEJAK WARISAN MELAYU SARAWAK ⭐Pendidikan Orang Islam dan Melayu di Sarawak ⭐

Pendidikan Islam pada abad ke-18 di Sarawak lebih berpusat di masjid dan surau.
Kemudian berubah kepada institusi pendidikan formal walaupun bukan di bawah kawalan pemerintah.
Di Sarawak secara amnya, wacana pendidikan terlihat dalam empat bentuk:
⭐Kelas oleh orang besar dan kenamaan (Istana atau rumah pembesar);
⭐ Kuliah oleh tokoh ulama Sarawak seperti Datu Hakim Asaari dan Datu Imam Abang Hj. Suhaili (lokasi di surau dan masjid);
⭐Penyebaran ilmu melalui ziarah oleh ulama yang membuka kelas pada setiap persinggahan (lazimnya di surau dan masjid);
⭐Mengadakan kunjungan dan menetap di situ untuk tujuan penyebaran ilmu Islam (surau dan masjid). Al Madrasah Al Islamiyah didirikan pada tahun 1937 oleh A. Mohammad Sharif, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Masjid Bandar Kuching.
Sebelum ini, pendidikan Islam tertumpu sebagai kelas pengajian di Masjid India yang dibina dengan kerjasama orang India Muslim dari Selatan negara India yang berdagang dan menetap di Kuching.
Masjid tersebut dibina daripada kajang sebagai dinding dan beratapkan nipah. Selepas tahun 1876, masjid tersebut diubahsuai menggunakan papan sebagai dinding dan belian sebagai atap.
Nama asal sekolah ini adalah Al Madrasah Al-Morshidiyah, bersempena dengan nama Datu Imam Abang Hj. Morshidi Abang Hj. Naruddin (1877 – 1939) sebelum ditukarkan dengan nama yang sedia ada atas kehendak Datu Hakim Imam Abang Hj. Morshidi Abang Hj. Naruddin (1877 – 1939). Manakala silibus pengajian beradasarkan kepada pendidikan Al Madrasah Al Junaid Al Islamiyah, Singapura.
Antara tenaga pengajar awal yang terlibat adalah Sharkawi Osman, Jol Abdul Karim, Nawawi Osman dan Nahrawi Amin. Antara alumni pelajar Al Madrasah Al Islamiyah ialah (Abdul Kadir Hassan (1928 – 1988), Mohd Mortadza Daud (1927 – 2011), Anis Abot (1940 – 2020), Nahrawi Abdul Rahman (1937), Awang Pon Awang Sebon (1941 – 2009), Mohd Fauzi Mohiden, Basri Ismail, Salleh Marekan, dan Wan Taha.
Sekolah agama lain adalah Sekolah Dato Abdul Rahman Yaakob (1969 – 1979) yang diilhamkan oleh Mohd Mortadza Daud (1927 – 2011) dimana ia menjurus kepada pendidikan bersepadu iaitu menggabungkan pendidikan Islam dan pendidikan biasa pada tahun 1969. Sekolah ini berfungsi sepenuhnya pada tahun 1972. Pengetua pertama adalah Awang Pon Awang Sebon (1941 – 2009). Sekolah ini menumpang di Sekolah Raáyat Menengah Tunku Abdul Rahman, Kuching.
Beberapa sekolah agama lain telah dibangunkan dengan bantuan kerajaan pusat seperti Sekolah Menengah Kerajaan Agama Matang 2 dan beberapa sekolah yang lain. Manakala sekolah yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak adalah termasuk Sekolah Kebangsaan Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi.
Ihsan: ARA. Abdul Kadir
“Tuntutlah ilmu itu walau sampai ke Negara China” itulah bidalan Melayu di dalam menzahirkan makna sebenar peri pentingnya masyarakat yang berilmu di seluruh dunia ini”.Tanpa insan yang bergelar guru siapalah kita. Selamat menyambut Hari Guru kepada seluruh warga Pendidik!
“Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani”.

Kongsi berita ini