KUCHING, 13 SEPTEMBER 2021 – Bengkel Kaedah dan Metodologi Sejarah bersempena dengan pertandingan Hari Sarawak 2021 telah berlangsung pada 13 September 2021, pukul 8 pagi hingga 4 petang yang bertempat di The Waterfront Hotel Tubau 2 dan 3. Program ini telah berjalan dengan lancar seiring dengan perancangan yang telah ditetapkan di dalam pengisian program tersebut. Di samping itu, program ini juga mematuhi kepatuhan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Sarawak sepanjang program ini berlangsung. Pada sebelah petang telah diadakan untuk pengisian taklimat jawatankuasa juri hakim, taklimat umum pertandingan Hari Sarawak 2021, taklimat peraturan dan syarat pertandingan, taklimat penilaian berkenaan instrument penilaian ketiga-tiga pertandingan dan taklimat pembahagian tugas dalam pemarkahan. Program ini dianjurkan bersama dengan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR), Jata Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS).
Bengkel Metodologi dan Kaedah Sejarah ini telah dianjurkan sebagai persediaan awal pelaksanaan pertandingan Hari Sarawak 2021. Penganjuran bengkel ini berkonsepkan syarahan dan pembicara ilmuwan berkenaan ilmu sejarah Sarawak, dengan menampilkan ahli akademik yang diundang khas sebagai penceramah iaitu YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Bin Haji Said, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Mantan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak dan mantan Pengarah merangkap Profesor Madya di Institut Pengajian Asia Timur, UNIMAS serta merupakan Sejarawan Sarawak.
Objektif Bengkel Kaedah dan Metodologi Sejarah ini disertai oleh para urusetia dari pihak penganjur utama dan pihak yang telah terlibat dengan kerjasama penganjuran. Bengkel ini bertujuan untuk memberi persediaan awal dan pemahaman yang tepat berkenaan dengan pertandingan Sejarah Sarawak. Disamping itu, hasil daripada Bengkel Metodologi dan Kaedah Sejarah ini membekalkan nota rujukan yang telah menjadi persediaan ilmu pengetahuan kepada semua para urusetia di pihak penganjur dan juri hakim sebagai panduan untuk melaksanakan pertandingan Hari Sarawak 2021 berlandaskan pegangan fahaman yang tepat dan menepati dasar konsep dan disiplin ilmu sejarah. Bengkel ini juga menggalakan segenap lapisan rakyat Sarawak untuk peka, peduli terhadap sejarah Sarawak dan menyemai kebangaan di dalam diri terhadap Negeri Sarawak tercinta.