⚜️SAMAsedia 2024 siri ke-3 @ Matang Wildlife Centre⚜️

KUCHING – Golongan belia merupakan harapan masa depan bangsa yang harus dipersiapkan daripada akar umbi. Golongan belia diajak untuk menjadi pemimpin melalui program SAMAsedia 2024 yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan peluang pembelajaran untuk mengasah kemahiran kepimpinan mereka.
Program ini menyasarkan seramai 80 orang belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang termasuk bakal pemimpin peringkat kampung, daerah dan bahagian.
Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Susoul Management, Pusat Khidmat Masyarakat Samariang dan Ahli Majlis Samariang telah menganjurkan program SAMAsedia 2024 siri ketiga di Matang Wildlife Centre di sini pada Ahad.
Dengan latar belakang yang kukuh, program ini merangkumi pelbagai aktiviti berkumpulan yang santai dan menghiburkan.
SAMAsedia yang juga dikenali sebagai Kem Aspirasi Warisan Anak Negeri bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan belia.
Peserta didedahkan kepada aktiviti yang memupuk semangat kerjasama dan setiakawan sambil mengumpul maklumat untuk penambahbaikan di masa hadapan.
Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan pemimpin yang peka dan bertanggungjawab dalam membangunkan masyarakat selaras dengan aspirasi negeri Sarawak.
Hadir sama adalah Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datu Dr. Sanib Said, Encik Sulhie Salleh, Penyelaras Program SAMAsedia 2024, Merangkap Biro Politik AKYBMS, Encik Muhd Izzul Zikri bin Khasri, wakil Belia N7 Samariang, Kakitangan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Barisan Fasilitator Susoul Management, dan Pihak Media.

Kongsi berita ini